Tajuk Buku: Sirah Bulan-bulan Hijrah
Penulis: Y. Bhg Prof. Madya Dr. Engku Ahmad Zaki bin Engku Alwi,
Pensyarah UDM (kini UNISZA), Terengganu D.I
Terbitan: MUST READ Sdn. Bhd.
Setelah membaca buku tersebut, banyak ilmu yang dapat kita perolehi daripada penulisan Y. Bhg Prof. Madya Dr. Engku Ahmad Zaki. Karangan beliau berkaitan sirah bulan- bulan hijrah dan keistimewaan bulan-bulan tersebut. Sebagai seorang pencinta ilmu falak ini, sememangnya kita perlu mengetahui tentang sirah dan keistimewaan bulan hijrah ini kerana ia berkait rapat dengan kehidupan kita sebagai seorang muslim. saya kongsikan beberapa ilmu yang telah beliau sampaikan secara ringkas. Untuk bacaan yang lebih lanjut, boleh dapatkan buku tersebut di pasaran.
SEJARAH PERMULAAN TAHUN HIJRAH (Muka surat: 3-5)
Tahun hijrah telah dimulakan penggunaannya selepas 7 tahun kewafatan Rasulullah SAW iaitu pada tahun ke 17H pada zaman pemerintahan Sayidina Umar Al-Khattab. Sebelum itu, mereka hanya menggunakan hari dan bulan sahaja tanpa tahun. Bulan yang diterima pakai sejak zaman Rasulullah SAW ialah Ramadhan, Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab dan Syaaban, manakala penentuan hari pula adalah dengan melihat bulan yang timbul pada waktu malam.
Sebelum kemunculan Takwim Islam (Hijri) ini, dikalangan bangsa Arab sendiri pun sudah ada berbagai-bagai kalendar yang telah digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Rumawi dan Kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar jahiliah.
Abu Nuaim Al-Asbahani ada meriwayatkan dua kisah tentang sejarah penggunaan tahun pada zaman Sayidina Umar Al-Khattab. Dalam satu riwayat, ia ada menyebut tentang satu dokumen kewangan bertulis padanya bulan Syaaban sahaja tanpa disebut tahun. Lalu timbul pertanyaan dalam diri Sayidina Umar r.a, ini Syaaban bila? adakah yang baru ataupun yang sebelumnya?
Satu lagi riwayat menyebut bahawa ada di kalangan gabenor wilayah Islam pada zaman Sayidina Umar r.a telah mengadu kepada beliau iaitu setiap kali surat sampai kepada kami, ia tidak mempunyai tahun. Kami tidak pasti bilakah ianya dihantar kepada kami. Lantaran itu, Sayidina Umar r.a menjemput para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tahun. mereka bersetuju bahawa penentuan tahun perlu dibuat berdasarkan peristiwa besar yang berlaku. Persoalannya ialah apakah peristiwa yang boleh dijadikan asas dalam kalendar Islam? Beberapa cadangan telah diberikan, antaranya ialah berasaskan tarikh kelahiran Rasulullah SAW atau berasaskan tahun kenabian Rasulullah SAW atau berasaskan tahun penghijrahan Rasulullah SAW atau berasaskan tahun kewafatan Rasulullah SAW. Namun, Sayidina Umar r.a bersetuju dengan tahun penghijrahan Rasulullah SAW sebagai tahun asas bermulanya penggunaan tahun hijrah dengan hujah hijrah itu membezakan antara kebenaran dan kebatilan. dengan itu, diisytiharkan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan pengiraan tahun hijrah bagi umat Islam. Tahun perbincangan itu telah berlaku pada 17 tahun selepas berlakunya hijrah Rasulullah SAW , ini beerti ia merupakan tahun 17 hijrah.
Seterusnya timbul pula persoalan tentang bulan manakah yang akan dimulakan tahun hijrah. Dalam hal ini, beberapa pandangan telah dilontarkan dikalangan sahabat. Antaranya adalah bulan Ramadhan, Syawal, dan Muharram. Sayidina Umar r.a pula memilih bulan Muharram dengan hujah bahawa bulan Muharram adalah bulan orang ramai bersurai. Dengan maksud lain, orang ramai mula bersurai atau selesai daripada mengerjakan ibadah haji. Ini kerana, ibadah haji dilakukan dalam bulan Zulhijjah. Ia adalah perhimpunan besar-besaran umat Islam seluruh dunia. Sudah tentu banyak pengalaman menarik sepanjang perhimpunan agung yang boleh mencorakkan keperibadian Muslim dan juga umat Islam yang lebih baik. Kepulangan mereka ke kampung halaman masing-masing selalunya pada bulan Muharram. Mereka kembali dengan keperibadian yang baru selepas mendapat pengampunan dosa hasil ibadah haji. Justeru, ia sangat sesuai dijadikan sebagai bulan pertama kalendar Islam. Dengan itu, bermulalah penggunaan tahun hijrah dengan dijadikan Muharram sebagai bulan pertama, seterusnya Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah sebagai bulan yang ke-12.
Semenjak daripada itu, ia mula menjadi sandaran umat Islam dalam meneruskan kelangsungan hidup berdasarkan Takwim Hijrah atau Takwim Islam. Takwim ini juga digunakan secara meluas oleh kebanyakan negara Umat Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam, sekaligus pencetus kepada penyusunan takwim berdasarkan falak syarii.
No comments:
Post a Comment