Search

Friday, January 28, 2011

Fenomena Astronomi Januari 2011

Written by Kassim Bahali   
Sunday, 09 January 2011
Perihelion dan Gerhana Separa Matahari
Detik 00:01 tengah malam 1 Januari 2011 disambut meriah di seluruh dunia, menandakan bermulanya tahun baru 2011.  Mungkin ramai yang tidak menyedari semasa kita menyambut tahun baru, Bumi bersama-sama penghuninya berjumlah lebih enam billion orang, sedang bergerak menghampiri kepada kedudukannya yang paling hampir dengan Matahari. Bumi bergerak mengelilingi Matahari di dalam orbit yang berbentuk elip. Akibat orbitnya yang elip,   Bumi  akan mengalami kedudukan paling dekat dan paling jauh dari Matahari. Kedudukan Bumi paling dekat dinamakan Perihelion dan paling jauh dinamakan aphelion. Kedudukan Perihelion akan berlaku pada  19:00UT, 3 Januari, selepas dua minggu kejadian solstis pada 21 Disember lalu ( lihat Dewan Kosmik, Disember 2010). Ketika Perihelion jarak Bumi dari Matahari ialah 147,098,074 kmAU) manakala ketika apehelion ialah 152,097,701 km(1.01671033 AU). Perbezaan jarak ini sebanyak  5 juta kilometer menyebabkan saiz ketara Matahari kelihatan berbeza sedikit sebanyak 3.4%. Ketika perihelion saiz ketara diameter Matahari ialah 32.53 arka minit manakala ketika apehelion saiz ketara diameter kecil sedikit iaitu 31.46 arka minit. (0.98328989)

gerhana2011












 



Rajah 1 : Perbezaan saiz Matahari ketika Apehelion dan Perihelion

Sehari selepas Bumi mengalami Perihelion, sebahagian Bumi akan mengalami gerhana separa Matahari pada 4 Januari. Gerhana ini terjadi selepas dua minggu kejadian gerhana penuh Bulan pada 21 Disember 2010 (lihat Dewan Kosmik Disember 2010). Afrika utara, Eropah, semenanjung Arab dan sebahagian Asia akan mengalami gerhana tersebut. Gerhana Matahari terjadi apabila Bulan berada diantara Bumi dan Matahari. Akibatnya Bulan menghalang sebahagian atau seluruh pandangan kita ke Matahari. Bulan akan menutupi sebahagian atau seluruh Matahari. Bayang Bulan akan terjadi dan jatuh ke permukaan Bumi. Kawasan yang mengalami bayang tersebut akan mengalami gerhana. Oleh kerana saiz relatif Bulan adalah kecil berbanding Bumi dan jarak Bulan-Matahari yang sangat jauh, menyebabkan bayang yang terjadi tidak dapat meliputi seluruh permukaan Bumi. Hanya sebahagian kecil Bumi akan dilalui oleh bayang Bulan.

Bayang ini akan mula merentasi utara Afrika, Eropah kemudian  semenanjung Arab, seterusnya Asia Barat dan berakhir di tengah Asia seperti di rajah 2. Gerhana ini bermula awal pagi 06:40 UT di Afrika utara kemudian mencapai maksima pada 08:51UT dan berakhir pada senja di tengah Asia pada 11:00 UT.  Gerhana maksimum akan berlaku di utara Sweden pada jam 08:50 UT dengan magnitud 0.858. Gerhana ini akan dapat dilihat di Kaherah, Istanbul, Tehran, Rusia dan juga sebahgian China. Walau bagaimanapun gerhana ini tidak dilihat di Malaysia. Gerhana ini akan berakhir di barat laut China ketika Matahari terbenam di ufuk barat.

Diantara pekara yang menarik tentang gerhana Matahari ialah sela masa ia berlaku diantara satu gerhana dengan gerhana yang berikutnya. Sela masa ini ialah 177 hari 4 jam dan ia berlaku dalam satu set gerhana Matahari pada nod orbit Bulan yang berlawanan(nod menaik dan menurun). Sebagai contoh gerhana separa Matahari pada 4 Januari 2011,  selepas 177 hari, gerhana berikutnya ialah pada 1 Julai 2011. 

gerhana2011a  


Rajah 2: Laluan yang mengalami gerhana separa Matahari pada 4 Januari 2011

















Gerhana Matahari hanya berlaku ketika Ijtimak iaitu apabila Matahari, Bulan dan Bumi berada dalam satu garis lurus atau dalam satu garis longitud samawi yang sama. Keadaan ini menjadi panduan menentukan awal bulan dalam taqwim Hijri. Gerhana Matahari hanya akan berlaku pada akhir bulan hijri. Gerhana separa Matahari yang berlaku pada 4 Januari 2011 adalah bersamaan dengan 29 Muharram 1432H.

Mengikut hisab Ijtimak akan berlaku pada 18:57, 4 Januari 2011. Pada petang tersebut Matahari akan terbenam pada 19:17 dan Bulan akan terbenam pada 19.18. Umur hilal ketika terbenam Matahari ialah 21 minit dan altitudnya dari ufuk hampir satu darjah. Kedudukan hilal tersebut sukar untuk dicerap dan didapati tidak memenuhi syarat kenampakan hilal yang ditetapkan dalam penentuan awal bulan mengikut kalender Islam. Salah satu syarat yang ditetapkan di Malaysia, umur hilal tidak kurang dari lapan jam selepas Ijtimak. Oleh yang demikian bulan Muharram 1432 akan digenapkan menjadi 30 hari dan 1 haribulan Safar 1432 akan jatuh pada 6 Januari 2011.

Diantara fenomena astronomi  yang menarik yang dapat dilihat dalam bulan ini, pada 25 Januari, Bulan dengan fasa hampir suku akhir akan kelihatan hampir dengan bintang Spica dan planet Zuhal. Bulan berdekatan dengan Spica dan Zuhal pada pada sudut pisahan 11 darjah dan 8 darjah masing-masing. Spica adalah satu bintang yang terang dalam buruj Virgo dengan magnitud 0.96. Zuhal boleh dilihat dengan mata kasar pada malam ini dengan magnitud 0.66.  Lihat di langit timur pada jam 5.00 pagi, kita akan dapat lihat Bulan berada tinggi hampir di tengah langit. Berdekatan dengannya kelihatan seperti satu bintang terang dengan warna kekuningan, itulah planet Zuhal. Jika dengan menggunakan binokular atau teleskop kita akan dapat melihat gelang di sekeliling Zuhal. Berdekatan dengan Bulan kita akan dapat melihat bintang Spica yang terang. Kedudukan ketiga-tiga objek tersebut seperti rajah 3.

zuhal2011
 
 
writethis(jsval);//-->  
Rajah 3 : Kedudukan Bulan, Zuhal dan Spica di tengah langit pada 05:00 pagi 25 Jan 2011
 
Pada 30 Januari, di langit timur sebelum terbit Matahari kita berpeluang melihat Bulan sabit tua menandakan hujung bulan Safar 1432 mengikut taqwim Hijri. Kita akan melihat bersebelahan dengan Bulan sabit itu ialah planet Zuhrah, ia kelihatan seperti bintang yang sangat terang dengan magnitud -4.28. Jika dilihat dengan teleskop planet Zuhrah pada pagi ini kelihatan seperti Bulan separuh. Ini kerana Zuhrah mempunyai fasa-fasa seperti Bulan (lihat Dewan Kosmik November 2010). 
 
Langit bulan ini turut dihiasi dengan bintang dan buruj-buruj yang menarik.  Buruj Orion atau Belantik yang terkenal diantara buruj yang menghiasi langit bulan ini. Buruj ini mudah dikenali ia mengandungi tiga bintang yang sederet di tengahnya. Istimewa bintang-bintang  ini ia boleh menjadi panduan arah Kiblat bagi orang Islam.  Mintaka, Al-Nilam dan Al-Nitak adalah nama ketiga-tiga bintang tersebut. Betelgeuse juga ahli kepada buruj ini, merupakan bintang bersaiz raksaksa yang berwarna merah. Ia terletak sejauh 427 tahun cahaya dari Bumi.

Berdekatan dengan buruj ini, buruj yang menyerupai seperti seekor anjing yang dikenali sebagai Canis Major. Buruj ini mempunyai bintang yang paling cerah di langit iaitu bintang Sirius. Ia satu-satunya bintang yang disebut di dalam Al-Quraan yang disebut sebagai bintang Syi'ra ( An-Najm:49). Ia mempunyai kecerahan mutlak 25 kali dari Matahari. Selain dari itu Buruj Gemini yang terdiri dari bintang Castor dan Pollux mudah dikenali. Ia digambarkan seperti dua beradik kembar yang sedang berpegangan tangan. Buruj ini juga terletak di langit utara berdekatan dengan buruj Orion.

Di langit selatan turut dihiasi oleh bintang Canopus yang kedua sangat cerah di langit dengan magnitud   -0.62 dalam buruj Carina. Bintang ini kelihatan berwarna putih dengan mata kasar, terletak sejauh 310 tahun cahaya dari Bumi. Bintang ini tidak dapat dilihat oleh mereka yang tinggal jauh di hemisfera utara di latitud melebihi 37° Utara. 

Langit bulan ini juga turut dihiasi dengan Galaksi Bima Sakti. Galaksi ini yang dianggarkan mengandungi bintang diantara 200-400 bilion bintang boleh dilihat dengan mata kasar jika cuaca langit cerah tanpa ada awan atau mendung. Ia kelihatan seperti jaluran awan yang nipis merentasi langit. Galaksi ini boleh dilihat dengan mata kasar bermula dari arah tenggara hingga ke barat laut.

Bagi mengenali objek-objek langit bulan ini kita boleh menggunakan peta bintang Januari 2011. Peta bintang ini menunjukkan bintang, planet, buruj, dan galaksi Bima Sakti. Fasa-fasa bulan yang ditunjukkan merujuk kepada tarikh yang dilabelkan. Saiz bintang menunjukkan kecerahan, bintang yang cerah ditunjukkan dengan saiz titik yang besar. Bintang yang ditunjukkan adalah bintang-bintang yang cerah dengan magnitud  kurang dari 4. Peta bintang ini boleh digunakan untuk langit di Malaysia pada jam 10.00 malam pada awal Januari, 9.00 malam di pertengahan Januari dan 8.00 malam di akhir Januari. Planet yang ditunjukkan untuk awal Januari.

Cerapan  langit utara
Berdiri menghadap arah Utara.
  • Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label A dan tangan kiri di label B peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Utara di peta bintang sama arah dengan Utara sebenar.
Jika  mencerap diawal bulan Januari, jam 10.00 malam, anda akan mendapati bintang Aldebaran yang terang berwarna merah berada di langit timur. Cuba kenali buruj Orion yang mempunyai bentuk seperti pemburu dengan tiga bintang sederet di tengah langit. Mulakan mengenali bintang dengan bintang yang cerah dan mudah dikenali seperti Capella dan Hamal. Seterusnya anda boleh mengenali planet, bintang dan buruj menggunakan peta bintang tersebut.

Cerapan langit selatan
  • Berdiri menghadap arah selatan.
  • Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label B dan tangan kiri pegang di label A peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Selatan di peta bintang sama arah dengan Selatan sebenar. Jika cerapan diawal Januari, kita boleh melihat buruj Canis Major dan Gemini.
Cerapan langit malam perlu dilakukan pada malam yang cerah, kurang berawan atau mendung. Hindari dari gangguan cahaya lampu dengan menutup lampu luar atau halaman. Apabila kita berada dalam persekitaran yang gelap kita akan dapat melihat langit dengan lebih baik. Tunggu beberapa minit sehingga mata kita dapat menyesuaikan dalam keadaan gelap. Lebih lama kita dalam keadaan gelap lebih banyak bintang yang akan dapat di lihat.
 
Last Updated ( Sunday, 09 January 2011 )

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...